Hari ini, saya teringat satu kisah saya. Kisah dahulu kala. Semasa saya masih baru di alam blog.
Saya teringat satu waktu itu, saya duduk di kantin, sebelah Cikgu Azmi Bahari. Kalau anda perasan, saya sering sahaja menyebut namanya dalam banyak tulisan saya. Sebab pada saya, antara yang memberikan kesan besar kepada diri saya adalah Cikgu Azmi.
Ketika itu, Ustaz Khairul Azhar, seorang lagi guru saya, datang menyapa. Tiba-tiba, perbincangan masuk ke dalam alam blog. Cikgu Azmi, yang kala itu sudah mempunyai blog, ditanya berkenaan manfaat blog.
Saya masih ingat Cikgu Azmi menjawab: “Manfaatnya, nanti bila blog kita ratingnya naik, bila orang taip ‘kekecewaan’, google akan suggest blog kita. Maka dapatlah dia mengendalikan kekecewaannya, dengan fikrah jelas yang kita berikan kepadanya. Bila orang taip ‘keimanan’, maka google akan suggest blog kita. Maka dapatlah dia takrif keimanan dengan fikrah jelas yang kita berikan kepadanya.”
Saya pada kala itu sangat takjub. Yalah, kalau kita isi tazkirah pun, pernahkah kita fikirkan agar tazkirah yang kita tulis itu, benar-benar memberi kesan kepada alam? Tercapai pada masyarakat? Tetapi Cikgu Azmi memikirkan sejauh itu.
Itu antara momen yang memberikan inspirasi kepada saya.
Blog, bukan semata riadhah fikri
Blog pada saya bukan semata-mata satu riadhah pemikiran. Bukan semata-mata tempat kita tulis apa kita mahu, dan biarkan.
Pada saya, blog adalah antara satu medan ‘nasyru fikr’ atau bahasa melayunya: Penyebaran Fikrah, yang baik. Lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui bahawa peperangan hari ini bukan semata-mata peperangan senjata, tetapi juga peperangan ideologi atau dalam bahasa arabnya: Ghazwah Al-Fikr.
Banyak sahaja blog yang wujud menghina Islam, menghina Allah dan Rasulullah, menyebarkan salah faham dalam agama, dan kalau tidak fokus kepada agama secara direct pun, banyak blog-blog yang menceritakan pengendalian masalah jiwa dengan cara yang salah dan sebagainya. Tidak kurang juga, banyak sahaja blog yang menggunakan ayat-ayat lucah, tidak senonoh, tidak sopan.
Justeru, kewujudan blog yang soleh dan solehah adalah satu perkara penting, dan perlu pada zaman ini. Bahkan, pada hemat saya, blog-blog sebegini perlu diperbanyakkan.
Bukan sekadar trend
Apabila kita menyedari bahawa blog mempunyai satu gapaian ‘nasyru fikr’ yang luas, dan mampu kita transformkan menjadi satu alat dakwah kepada masyarakat, menjadi antara sumbangan kepada Islam, kita perlulah keluar dari berblog sekadar trend, kepada berblog dengan serius untuk Islam.
Ledakan blog yang berlaku hari ini memang mengkagumkan. Semua orang kalau boleh nak ada blog. Tetapi kita lihat, apakah isi blog kita? Persoalan pertama yang kita perlu tanya pada diri kita adalah: “Adakah blog aku ini bermanfaat untuk Islam?”
Persoalan kedua yang perlu kita timbulkan adalah: “Apakah blog aku ini syara’?” Dalam erti kata lain, tak ada perkara-perkara yang Allah larang, atau mengajak kepada apa yang Allah larang.
Kemudian, kita lihat bagaimana kita jalankan blog kita? Konsistenkah? Konsisten di sini bermaksud, paling kurang seminggu sekali kita update. Kawan saya kata, busuk-busuk pun dua minggu sekali. Hal ini kerana, blog yang diupdate hanya 4-5 bulan sekali pastinya tidak akan diikuti. Kalau benar hendak menjadikan blog kita sebagai salah satu alat dakwah, konsistensi adalah apa yang kita perlukan.
Dan akhir sekali, menyebar luaskan gapaian. Kita promosi blog kita seluas mungkin. Ramai yang menganggap bahawa, promosi blog sama dengan ‘poyo’, ‘nak cari populariti’ dan sebagainya. Ini satu kesilapan. Perkara ini perlu dibuang. Kalau benar hendak sebar Islam seluas mungkin, dua perkara yang perlu kita cantas dari diri kita adalah ‘malu untuk sebar benda baik’ dan ‘takut nanti orang kata apa’. Yang patut malu, adalah yang memang sebar untuk mencari populariti sahaja.
Kita keluar dari trend ’sekadar nak ada blog’ atau trend ’semua orang ada blog’. Kita cipta arus Islam dalam blog kita, dan kita ekspensikannya seluas yang mungkin.
Pengisian di dalam blog
Ada pula orang akan kata: “Saya bukan ustazlah.”
Ada pula akan kata: “Ana mana reti nak tulis artikel panjang-panjang ni.”
Sebenarnya, untuk sebar Islam tidak semestinya mesti jadi ustaz. Dan tak semestinya menyebar Islam di dalam blog, mesti dengan artikel panjang-panjang.
Anda minat apa? Tulis diari. Ok. Anda ni apa? Doktor? Ok.
Jadi kita buat begini. Apa kata anda tulis diari anda sebagai doktor, pesakit yang anda jumpa, peristiwa-peristiwa sekitar kedoktoran anda itu, dan anda cuba ekstrak pengajaran-pengajaran daripadanya, dan hubungkan dengan Allah SWT. Done.
Itu sahaja sudah cukup memberikan kesan kepada yang mengikuti blog anda.
Anda minat apa? Tangkap gambar guna DSLR? Ok.
Jadi kita buat begini. Apa kata anda tangkap gambar lawa-lawa, gambar panorama ke, gambar orang ke, gambar suasana ke, dan kemudian anda cuba hubungkannya dengan keagungan Allah, kehebatanNya. Anda mungkin boleh juga tangkap gambar macam gambar smileys yang menarik, kemudian anda kaitkan dengan hadith fasal senyuman.
Itu sahaja sudah amat menarik.
Ini hanyalah contoh dari banyak contoh lain yang boleh dibuat.
Blog yang nak sebar Islam, tak semestinya perlu dalam bentuk artikel dan sebagainya. Puisi pun boleh, cerpen pun boleh, novel bersiri pun boleh, diari pun boleh, pengalaman pun boleh, macam-macamlah.
Nampak?
Nanti harapannya…
Sekiranya semua kita serius dalam melaksanakan hal ini, saya tidak terkejut dengan penambahan ramainya orang yang faham akan Islam, yang sukakan Islam. Hal ini kerana, dia klik blog si Fulan, dia nampak Islam berkembang pesat di situ. Dia tengok artikel-artikelnya yang dapat sambutan, dia tengok respon pembaca-pembaca lain. Dia pun tertarik. Dia klik blog si fulanah, dia nampak Islam juga berkembang pesat, diterima di situ. Dia tengok semuanya membawa pulang kepada Allah, dan dia melihat ramai orang mengikuti blog itu.
Akhirnya, dia yakin dengan Islam, dan mula melihat dirinya semula, muhasabah dan berusaha mengubah dirinya. Perlahan-lahan. Dengan guide dan pengajaran daripada blog-blog kita.
Bukan semua orang kena berblog
Saya menulis ini, adalah untuk orang yang minat berblog. Ini bukan seruan supaya semua perlu berblog. Bukan semua orang kena berblog. Dakwah ada banyak cara lain. Tinggal, saya menulis ini adalah untuk saudara-saudari saya yang memang minat berblog, mempunyai blog, suka berblog. Maka, alangkah baiknya sekiranya kita menggunakan keminatan kita, kesukaan kita berblog itu untuk Islam?
Kita gunakan minat kita untuk Islam.
Kalau orang yang minat melukis, kita gunakan lukisan kita untuk Islam.
Kalau orang yang minat menyanyi, kita gunakan nyanyian kita untuk Islam.
Kalau orang yang minat bercakap, kita gunakan percakapan kita untuk Islam.
Pastikan, setiap amal kita memberikan manfaat untuk Islam, menarik lebih ramai orang kepada Islam. Buatlah apa pun, selagi mana masih dalam syara’, dan pastikan ianya bermanfaat untuk Islam.
Penutup: Tetapi janganlah pula lemas di dalam blog semata-mata
Akhirnya, satu pesanan.
Janganlah pula lemas di dalam alam blog, internet semata-mata. Pada saya, blogger yang baik itu adalah yang baik juga di alam realiti. Walaupun mungkin di alam realiti dia tidak dicari seperti di alam maya(mungkin jenis low profile, sembunyi nama sebenar dan sebagainya), tetapi tetap kita ada kewajipan menjadi hamba Allah SWT yang diredhaiNya.
Percayalah kata-kata saya bahawa, hidayah itu adalah milik Allah. Maka, jika benar kita berblog ini untuk memberikan manfaat kepada Islam, hendak sebar hidayah Allah dengan lebih meluas, maka kita sendiri perlu baik dengan Allah SWT. Barulah kerja-kerja kita itu dipermudahkan. Bukanlah hidayah itu di hujung jari kita, tetapi Allahlah juga pemilik hidayah yang sebenarnya.
Maka, janganlah kita anggap blog kita sebagai ’satu tempat mengajar orang lain’, tetapi lihatlah blog kita sebagai ’satu medan memperbaiki diri, dan mengajak orang lain ke arah yang sama’.
InsyaAllah, manfaatkanlah minat berblog ini.
Jadilah Da’ie yang berblog.
Bukan sekadar blogger yang berdakwah.